:
:
i said i dont even care!
:
:
i dont care aaattt alllll!!!!!!
Ahmad Lutfi Othman Mon | Sep 17, 07 | 1:52:41 pm MYT | |
Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (KBN) menjadi bualan umum baru-baru ini dan mendapat perhatian media. Namun ada isu lebih besar, membabitkan lebih banyak wang rakyat, dan salah lakunya lebih menjolok mata.
Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50). Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta. Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta. Sebanyak 430 set papan bancuh simen untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa dan Penjubinan pada empat IKBN yang sama telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Sedangkan harga pasaran hanya RM150 sahaja (harga untuk 430 set hanya RM64,500) dan menurut tenaga pengajar IKBN, kosnya boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri. Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Jabatan Audit Negara mendapatkan sebut harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang 2 penghawa dingin dan sewa kren, iaitu RM20,000 sahaja (RM60,000 untuk tiga unit). Sebanyak 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di KBN Bachok, Chembong dan Kuala Perlis, dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Semua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran. Begitu juga dengan harga satu set pen teknikal yang dibeli dengan harga RM1,146.56 sedangkan harga pasaran hanya RM160. Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai (tidak melebihi 5 tahun, terdiri daripada 4 jenis kereta, Honda Civic, Toyota Corolla, Protoeon Wira dan Iswara) dibeli dengan harga RM4.24 juta (satu set RM280,000) untuk jurusan Ketuk Mengetuk dan Semburan Cat, sedangkan harga pasaran sekitar RM2.8 juta (satu set RM183,000). Pembaziran wang rakyat dalam kes IKBN Okey, saya tidak mahu membutirkan lebih banyak pendedahan laporan Audit itu hanya berlengkar di Kementerian Belia dan Sukan. Dan segala yang dibentangkan di atas pun bukanlah prioriti catatan ringkas ini. Ia mungkin boleh diibaratkan sebagai kes membabitkan ikan bilis sedangkan ada kes melibatkan ikan jerung yang tidak diberikan keutamaan oleh pihak media. Namun tidak pula saya anggap pembaziran wang rakyat dalam kes-kes IKBN ini boleh didiamkan begitu sahaja. Menteri bertanggungjawab, ketika itu, Dato' Seri Hishamuddin Hussein harus menjelaskan bagaimana keadaan pincang itu boleh berlaku. Kita pun pelik juga dengan peranan Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia yang dilantik sebagai perunding untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti keperluan peralatan IKBN, dan sehingga Disember 2006, sejumlah RM6.54 juta telah dibayar kepadanya. Kita tinggalkan sekejap isu-isu yang membabitkan perbedaan harga yang begitu ketara itu, dengan menyedari jumlah terkumpul yang sepatutnya boleh dijimatkan tidak kurang daripada RM10.80 juta, selain dapat mengelak permohonan penambahan perolehan peralatan sehingga kosnya berjumlah RM267,90 juta. Kerajaan juga terpaksa membayar tidak kurang RM88.45 juta untuk peralatan yang masih tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum disebabkan tiada keperluan, tenaga pengajar tidak pakar dan pembelian yang terlalu awal. Ooop, cukup dulu hal berkenaan. Kita beralih kes yang lebih besar membabitkan Kementerian Pertahanan, yang kini diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Najib Razak. Semalam (15 September), di Pekan, Najib berkata kerajaan bersedia mengguna pakai apa sahaja kaedah baru yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara asalkan dapat menyumbang ke arah pentadbiran kewangan awam lebih cekap, telus dan mempunyai akauntabiliti. Beliau mengulas langkah Audit hendak memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri bermula tahun depan. Najib seterusnya berkata, langkah memperkenalkan sistem ini dapat mengelakkan berulangnya salah urus dana di kementerian dan jabatan berkaitan. ''Kalau tidak ada sistem penilaian, perkara-perkara ini (salah urus kewangan) akan berulang dan membuatkan banyak pihak mengatakan laporan audit itu (sekadar) merupakan cerita lama yang diulang balik," katanya. Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan tidak mahu pelaksanaan sistem itu menyebabkan berlaku perubahan yang besar dari segi pentadbiran kewangan di semua kementerian. Saya rasa Najib seperti mahu menekankan bahawa jangan cuba memandai-mandai buat cadangan untuk mereformasikan sistem pentadbiran kewangan yang terpakai selama ini. Laporan Audit dedah banyak perkara Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan 6 buah kapal peronda (Patrol Vessel - PV) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang tidak dibuat dengan baik dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan. Saya minta rakan saya, Lifeboat, yang berpengalaman dalam hal pengauditan ini, untuk membuat analisis lebih terperinci dalam Harakah cetak keluaran depan. Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Selepas Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 September 1983, diputuskan kontraktor awal ialah Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, yang kemudiannya selepas diswastakan menjadi konsortium PSC-NDSB, diketuai Penang Shipbuilding And Construction Sdn Bhd (PSC). Bagaimanapun Penglima Tentera Laut ketika itu, Dato' Seri Mohd Shariff Ishak menekankan TLDM tidak bersetuju dengan cadangan penswastaan kepada PSC, antaranya kerana PSC merupakan limbungan yang kecil, prestasinya tidak baik dan hanya mempunyai pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil. Jawatankuasa Pemandu Pelaksananaan Program Pembinaan Kapal Peronda, yang bertanggungjawab menetapkan dasar dan garis panduan berhubung dengan kewangan, pengurusan projek dan teknikal di samping mengawal perlaksanaannya ditubuhkan. Ia dipengerusikan Dato' Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan. Semakan Audit menunjukkan jawatankuasa ini bermesyuarat sebanyak 7 kali dari tahun 1994 hingga 1998 sahaja, dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu. Manakala Jawatankuasa Pengerusan Eksekutif yang dipengerusikan Mohd Shariff dan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Mindef hanya bermesyuarat sebanyak empat kali bagi tempih 1994 hingga 1996 dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu. Mengikut kontrak asal, 6 kapal peronda itu sepatutnya diserahkan secara berjadual, bermula Mac 2004 (PV1), seterusnya Januari 2005 (PV2), Oktober 2005 (PV3), April 2006 (PV4), Oktober 2006 (PV5) dan April 2007 (PV6). Malangnya hanya PV1 dan PV2 dapat diserahkan, itu pun masing-masing pada Jun 2006 (terlewat 27 bulan) dan Julai 2006 (terlewat 18 bulan). Audit merumuskan bahawa punca ia gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana pemilihan kontraktor yang hanya mempunyai limbungan yang kecil dan pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil sahaja, masalah kewangan serta lain-lain masalah yang dihadapi oleh kontraktor, seperti pengurusan tidak cekap dan masalah aliran tunai. Semasa penyerahan PV1 yang dikenali sebagai KD Kedah pada 2 Jun 2006, terdapat 100 item/kerja masih belum diselesaikan. Keadaan yang sama juga berlaku semasa penyerahan PV2 (KD Pahang) pada 27 Julai 2006 di mana sebanyak 383 item/kerja masih belum diselesaikan. Kos bina kapal peronda RM2.875 bilion Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tiada tuntutan denda lewat dibuat Kementerian Kewangan walaupun Unit Perancang Ekonomi melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (Perolehan) Kementerian Pertahanan pada bulan September 2005 telah mencadangkan supaya denda lewat berjumlah RM107 juta dituntut bagi PV1 dan PV2. Berdasarkan perkiraan Audit, sejumlah RM214.01 juta denda lewat boleh dikenakan terhadap kontraktor atas kelewatan keenam-enam PV berkenaan. Bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi kontraktor dan memastikan kapal dapat diserahkan secepat mungkin, Kementerian Pertahanan pada Oktober 2005 telah memohon kelulusan Kementerian Kewangan untuk membayar baki bayaran kemajuan PV1 dan PV2 berjumlah RM145 juta tanpa disokong Statement of Progress yang ditandatangani Pasukan Projek PV. Perbendaharaan, pada Januari 2007 membayar RM143.12 juta. Dan pada 17 Januari 2007, tarikh penyerahan kapal peronda itu dirombak dengan memberi ruang lebih selesa. Bagi PV3, tarikhnya dianjak daripada Oktober 2005 kepada Disember 2008; PV4, Julai 2009; PV5, November 2009; dan PV6, Mac 2010. Jika diambil secara purata, kos bagi membina sebuah kapal peronda ialah RM848.19 juta (iaitu kos keseluruhan RM5.08 -- yakni tidak termasuk bayaran Commercial Package Achievement Fee bernilai RM267.50 juta -- dibahagi enam). Berdasarkan Laporan Pasukan Projek PV setakat bulan Disember 2006, merujuk peratusan kemajuan fizikal pembinaan kapal, PV3 baru 55.89% dibina, PV4 (44.75%), PV5 (19.81%) dan PV6 (18.47%). Setelah dibuat perkiraan, nilai semua 6 kapal peronda itu, mengikut peratusan siap hanya RM2.875 bilion, manakala kos yang masih diperlukan untuk menyiapkan empat lagi PV berkenaan ialah RM2.214 bilion. Persoalan besarnya, kerajaan sudah pun membayar RM4.256 bilion kepada kontraktor! Peruntukan yang berbaki hanya RM832.92 juta, sedangkan yang diperlukan ialah RM2.214 bilion, itu pun belum diambil kira kos yang semestinya meningkat. Wang rakyat hampir RM 1 bilion dibuat main-main Maka bagi memulihkan projek ini, kerajaan bersetuju menambah nilai kontrak sebanyak RM1.4 bilion lagi (senang-senang wang pembayar cukai dihanguskan!), iaitu daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion. Bagaimanapun, pihak Audit tidak dapat menentukan justifikasi untuk menambah nilai kontrak sejumlah RM1.4 bilion itu. Lebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan. Masya Allah, wang rakyat hampir RM1 bilion itu boleh "dibuat main-main" begitu sahaja, seolah-olah bagai duit "mak-pak depa". Ini bukan pembelian seringgit dua. Rekod menunjukkan baucer yang tidak dikemukakan itu daripada serendah RM6.69 juta, pada 19 November 2001, sehingga kepada yang tertinggi RM222.06 juta (pada 27 September 2001). Jadi, kepada Najib, apa penjelasan anda kepada isu ini, terutama bagaimana kontraktor yang langsung tiada berkelayakan dipilih menjalankan projek sebesar itu? Dari awal Kementerian Pertahanan sudah diperingatkan bahawa kontraktor yang dipilih itu hanya berpengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil! Memang sengaja mengundang padah (sebenarnya memang mahu mengagihkan kepada kroni meskipun sudah diketahui tidak mampu)! - mks. |